Ahad, 8 Mei 2011

IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN


Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan