Ahad, 8 Mei 2011

selamat hari ibu...


Ibu' adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dalam kotak memori setiap insan. Pertarungan nyawa dan ketabahan menahan kesakitan mengandung, melahir dan membesarkan anak-anak bukanlah perkara asing dalam catatan diari hidup seorang ibu. Itulah tugas yang tercatat sebagai seorang ibu yang benar-benar berfungsi dalam mendidik anak-anak.
Air mata, kelembutan, kasih sayang dan teman di masa susah atau senang adalah sebuah nukilan khas yang boleh saya dedikasikan buat ibu saya. Malah hemat saya juga tersemat utuh menyatakan semua ibu di dunia ini punya rasa yang sama. Naluri keibuan ini adalah sunnatullah yang tercipta bermula daripada Hawa AS. Jadi semestinya semua ibu, bakal ibu malah semua wanita mempunyai sifat-sifat yang saya nyatakan. Semestinya benar, bukankah begitu?

warna-warni kehidupan


Hidup ini cukup indah. Penuh dengan misteri. Kata orang warna-warni. Adakalanya kita berduka, ada juga masanya kita gembira. Yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, sentiasa ingat kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Syukur dan sabar; 2 rahsia kejayaan.
Aku melontarkan pandangan ke laur tingkap. Cuaca begitu terang sekali. Ramai sungguh orang keluar menikmati teriknya mentari. Kukira di Malaysia situasinya berbeza. Kita menunggu sang suria beredar barulah kita menampakkan diri. Benar kata orang, kita hanya menghargai sesuatu itu bila kita kehilangannya.
Ok. Kali ini ingin aku kongsikan perbualanku dengan Mr. X tempoh hari.
Kala itu kami sedang menikmati hidangan istimewa di sebuah restoran.
"Pelik betul manusia ni, asyik mengeluhhhh je," Mr. X memulakan bicara.
"Mm..biasa la tu..apa yang peliknya?" Aku menjawab.
"Keluhan tidak menyelesaikan masalah... malah melambatkan proses menyelesaikan masalah."
"Well... bagaimana kalau keluhan itu adalah sebahagian dari proses menyelesaikan masalah?" Aku cuba menghangatkan sedikit perbualan.
"Jika begitu, kita perlu lihat semula kepada sirah.. ingat Khabbab Al-Art?"
Aku menganggukkan kepala. Khabbab Al-Art merupakan orang yang meminta Rasulullah s.a.w. berdoa supaya dilepaskan daripada kezaliman arab Quraisy. Lalu Nabi s.a.w mengingatkan Khabbab akan betapa umat terdahulu ujiannya jauh lagi hebat daripada ujian yang mereka hadapi ini.
"Masalah ni takkan habis... masalah ini akan sentiasa datang sebab kita ini hidup. Bukan hidup-hidupan," Mr. X menyambung bicaranya.
Aku mengiyakan. Tidak mahu menganggu ucapan Mr. X.
"Kereta hanya ada masalah jika kereta tu bergerak. Kalau dok kat umah je, memang tak jumpenya lampu isyarat, polis semua tu. Yang penting adalah kita kena persiapkan diri kita untuk menghadapi masalah ini. Kita di sini untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah."
"Setuju. Dan semakin matang kita semakin besar cabarannya. Cabaran membawa kereta tak sama seperti cabaran membawa lori," aku memotong Mr. X. meminjam analogi yang sama.
"Bagus.. Allah tidak akan memberikan sesuatu di luar kemampuan kita. Fikir dan zikir!" Mr. X menjawab sambil tersenyum.
Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya.

IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN


Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.
Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!

mencari ketenangan....


Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelama. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?